Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus
al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Agama itu adalah
nasihat.” Kami berkata: “Untuk siapa?” Baginda bersabda: “Untuk
Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin
dan untuk umat lslam seluruhnya.”
Hadis riwayat al-lmam Muslim.
Di dalam hadith ke-7 dalam Kitab
Hadith 40 yang telah disusun oleh Imam Nawawi ini, jelas
telah digambarkan oleh Rasulullah SAW tentang
perihal pentingnya nasihat menasihati di dalam perkara kebaikan.
Nasihat juga digambarkan besarnya seperti sebuah Agama Islam,
menunjukkan bahawa Islam ini melingkari seluruh aspek kehidupan seharian
kita.
Pengertian nasihat
Agama Islam adalah agama Allah, dan agama menurut
Rasulullah SAW adalah nasihat yang terbaik untuk umatnya. Dalam
Bahasa Arab, nasihat membawa maksud yang dinasihati akan mendapat
faedah daripada nasihat yang telah diberi. Ia juga membawa
erti bahawa yang menasihati hendaklah menggunakan perkataan yang
terbaik dan ikhlas bersih dari maksud yang tidak baik.
Adab-adab memberi nasihat
1. Meluruskan niat sebelum menasihati
seseorang supaya tidak ada yang berasa disakiti. Ikhlas menasihati
saudara semuslim semata-mata karena Allah. Seharusnya seorang yang
ingin memberikan nasihat itu perlulah bersih dari segala bentuk
niat yang terpesong kerana ia akan memberi kesan ke atas nasihat
yang ingin diberikan. Janganlah menasihati seseorang itu kerana
ingin menunjukkan kitalah orang yang benar, tetapi tegurlah kerana
ingin mengajak sahabat ke jalan yang benar.
2. Menjaga ukhuwah semasa menasihati.
Diusahakan supaya menasihati saudaranya dengan tidak diketahui
orang lain. Sebahagian ulama berkata, “Barangsiapa yang
menasihati seseorang dan hanya ada mereka berdua, maka itulah nasihat
yang sebenarnya. Barangsiapa yang menasihati saudaranya di depan
banyak orang, maka yang demikian itu mencela dan mencelakan orang
yang dinasihati.” Islam mengajar umatnya supaya
mempunyai akhlak yang tinggi. Dalam hal menasihati juga terdapat
perkara ini. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menjaga hati dan
maruah orang yang dinasihati supaya tidak berlaku perpecahan kerana
perkara nasihat.
3. Bersih hati semasa menasihati.
Menggunakan bahasa yang halus dan menegur hanya untuk
perkara-perkara yang salah. Kadang-kadang kita sering menggunakan
perkataan yang sangat teruk untuk meluahkan nasihat kita. Dalam
ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang berbentuk menasihati, kita
lebih gemar menyatakan salah orang lain seolah-olah mereka yang
melakukan perkara tersebut sangat jahat dan sudah tiada ruang untuk
bertaubat. Seharusnya selaku seorang pendakwah, nasihat adalah
senjata utama yang perlu digunakan sebaiknya.
4. Memikirkan cara yang terbaik untuk menasihati
saudara. Seboleh-bolehnya mengenali dulu saudara yang bakal
kita nasihati itu. Nasihatilah mereka dengan kasih sayang dan
jadilah sebahagian dari mereka, kerana dari situ kita akan tahu apa
puncanya mereka begitu.
5. Memberi waktu dan kesempatan kepada
saudara yang dinasihati untuk mengubah sifat buruk/ kesalahan yang
dilakukannya. Manusia perlukan masa untuk berubah, jangan memaksa
mereka untuk berubah mendadak, ia bukan dalam lingkungan tugas
seorang pendakwah. Dalam berdakwah perlu akan sifat sabar dan
berserah kepada Allah. Jadilah orang yang sentiasa mengharap
pertolongan Allah dan jangan mudah putus asa di atas nasihat yang
diberikan kerana itu mungkin ujian yang telah ditentukan oleh Allah
untuk menguji kesabaran.
Ayuh semua sahabatku, kita renungkan kembali perkara yang
telah kita lakukan selama ini, nasihat yang telah kita berikan
kepada orang lain atau nasihat yang diperolehi daripada orang lain,
adakah kita sudah melaksanakan amanah ini? Jangan
jadi golongan yang hanya tahu menasihati sedangkan mereka tidak
sedia untuk dinasihati.
No comments:
Post a Comment